Keeway baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah model terbaharu Keeway X-Light 125 2023 di pasaran Eropah. Model berkenaan tampil dalam tiga pilihan warna, dan dilengkapi enjin bersesaran 125cc (single cylinder, 4 stroke, 2 valves, SOHC, air cooled) dengan transmisi lima kelajuan.
Enjin patuh piawaian emisi Euro 5 itu menawarkan kuasa maksimum 11.15hp (8.2kW) @ 9,000rpm dengan tork 9.7Nm @ 6,500rpm, dan mampu mencapai kelajuan maksimum 99 km/j. Model bergaya cafe racer dengan berat 131 kg (dry weight) itu kemudiannya dilengkapi tangki bahan api 16 liter.
Spesifikasi lain pada Keeway X-Light 125 ini termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang berkembar, brek cakera depan dan belakang dengan diameter 276 mm dan 220 mm, sepasang tayar bersaiz 100/90-18 (depan) dan 120/80-17 (belakang), dan tinggi tempat duduk hanya 766 mm.
Untuk lebih kemudahan, Keeway X-Light 125 2023 dilengkapi panel meter digital yang jelas dengan pelbagai info, sistem lampu LED sepenuhnya yang terang, dan port pengecas USB untuk mengecas telefon bimbit. Untuk anda, saksikan gambar-gambar menariknya dalam paparan galeri di bawah.