MV Agusta Dragster RR SCS America 2023, hanya 300 unit eksklusif untuk pasaran USA

MV Agusta baru-baru ini telah memperkenalkan model edisi istimewa terbaharu MV Agusta Dragster RR SCS America 2023, khusus untuk pasaran Amerika Syarikat (USA). Hanya 300 unit sahaja yang ditawarkan, dengan harga jualan bermula dari USD 28,247.00, bersamaan nilai RM 128,312.00.

Antara ciri-ciri khas pada model berkenaan ialah skim warnanya yang melambangkan bendera USA, tempat duduk dengan perkataan “America Special Edition” yang dijahit tangan, penutup roda gentian karbon aerodinamik yang lengkap dengan skim warna khusus, termasuklah pada tangki bahan api.

MV Agusta Dragster RR SCS America 2023 juga didatangkan dengan nombor siri individu, bermula dari 001 sehingga 300, yang diukir menggunakan laser pada bahagian atas ‘triple clamp’. Sementara itu, Special Parts Kit yang disertakan termasuklah penutup klac SCS jenis lutsinar, penutup motosikal khas, sijil pengesahan ketulenan, dan sistem ekzos sports titanium Akrapovič dengan ECU khusus.

Beralih ke bahagian enjin, ianya bersesaran 798cc (3 cylinders, 4 stroke, 12 valves, DOHC) dengan prestasi maksimum 140hp @ 12,300rpm (148hp @ 12,800rpm dengan sistem ekzos Akrapovič dan ECU khusus) dan tork setinggi 87Nm @ 10,250rpm. Kelajuan maksimumnya mencapai 244 km/j.