Modenas Z650 2023 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga bermula dari RM 34,500.00

Selain daripada model Modenas Ninja 650 2023, EMOS pada masa yang sama turut melancarkan model naked terbaharu Modenas Z650 2023. Model tersebut didatangkan dengan dua pilihan warna menarik, dengan harga jualan asas yang berbeza seperti mana senarai berikut :

  • Metallic Spark Black : RM 34,500.00
  • Metallic Matte Graphenesteel Gray : RM 35,200.00

Modenas Z650 2023 dikuasakan enjin bersesaran 649cc (4-stroke, 2-cylinder, DOHC, liquid-cooled), dengan kuasa maksimum 68PS @ 8,000rpm dan tork maksimum 64Nm @ 6,700rpm. Enjin tersebut seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch.

Sama seperti Ninja 650, Z650 juga dilengkapi dengan pelbagai spesifikasi dan ciri-ciri yang menarik. Antaranya ialah KTRC (Kawasaki TRaction Control), sistem lampu LED, panel instrumen TFT 4.3 inci berwarna dengan sambungan ke telefon pintar menggunakan aplikasi “RIDEOLOGY THE APP”, fork depan teleskopik, dan suspensi belakang monoshock ‘Horizontal Back-link with preload adjustment’.

Spesifikasi lain termasuklah tangki bahan api 15 liter, tinggi tempat duduk 790 mm, tayar depan dan belakang 120/70-17 dan 160/60-17, dan berat 188 kg. Tempoh jaminan selama 2 tahun dengan jarak perbatuan tanpa had, di samping perkhidmatan bantuan Kawasaki Roadside Assistance 24/7.