Model sport bike empat silinder Kawasaki Ninja ZX-25R SE 2024 kini rasmi diperkenalkan di pasaran Indonesia, dengan kemaskini dua pilihan warna baharu yang lebih sporty dan segar. Dua pilihan warna baharu itu ialah Candy Persimmon Red dan Candy Plasma Blue / Metallic Spark Blue.
Harga jualannya pula ditetapkan sebanyak Rp. 125,700,000.00, bersamaan RM 38,956.74 mengikut nilai mata wang semasa. Sementara itu di bahagian teknikal, Kawasaki Ninja ZX-25R SE 2024 ini masih mengekalkan spesifikasi yang sama, seperti mana model terdahulu Kawasaki Ninja ZX-25R SE 2023.
Antaranya termasuklah enjin bersesaran 249.8cc dengan teknologi empat silinder sebaris (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves) dan sistem transmisi enam kelajuan, yang menghasilkan kuasa maksimum 50PS (51PS dengan Ram Air) @ 15,500rpm dengan tork maksimum 22.9Nm @ 14,500rpm.
Melengkapkan model tersebut ialah Assist & Slipper Clutch, KQS (Kawasaki Quick Shifter), Centre Ram Air System, Electronic Throttle Valves, Power Mode Selection, KTRC (Kawasaki Traction Control), fork depan SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston) 37 mm, suspensi belakang monoshock Horizontal Back-Link dengan ciri pelarasan prabeban, sistem brek ABS Dual Channel, dan tangki bahan api 15 liter.
Selain itu ianya turut dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya, paparan panel instrumen TFT dengan Circuit Mode, sistem sambungan ke telefon pintar dengan menggunakan aplikasi RIDEOLOGI, tinggi tempat duduk 785 mm, saiz tayar depan dan belakang masing-masing 110/70-R17 dan 150/60-R17, dan berat 182 kg (curb weight).
Untuk pasaran Malaysia, Ninja ZX-25R dikatakan akan dilancarkan dalam suku ketiga tahun ini, dan ianya dijangka akan dikenali dengan nama Modenas Ninja ZX-25R. Diharapkan model untuk pasaran Malaysia nanti akan turut menerima skim warna terbaharu seperti mana yang ditawarkan di pasaran Indonesia ini.