Kawasaki Motor Indonesia baru-baru ini rasmi melancarkan model terbaharu Kawasaki W175 SE Black Style 2024. Model bergaya klasik itu tampil dengan satu pilihan warna sahaja iaitu Ebony. Harga jualannya pula ditetapkan sebanyak Rp. 35,500,000.00, bersamaan nilai RM 11,005.07.
Kawasaki W175 SE Black Style 2024 dilengkapi enjin bersesaran 177cc (air-cooled, SOHC, 2 valves) dengan sistem penyampaian bahan api karburetor. Enjin itu dipadankan dengan sistem transmisi lima kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 13PS @ 7,500rpm dengan tork 13.2Nm @ 6,000rpm.
Spesifikasi menarik lain pada model tersebut termasuklah tangki bahan api berkapasiti 14 liter, brek depan cakera, brek belakang dram, dan sepasang tayar bersaiz 80/100-17 (depan) dan 100/90-17 (belakang). Tinggi tempat duduknya 785 mm, dan berat keseluruhan mencapai angka 126 kg (curb weight).