Model terbaharu BMW R 18 100 Years 2023 kini rasmi ditawarkan di pasaran Malaysia, dalam jumlah terhad 10 unit sahaja. Harganya ditawarkan sebanyak RM 159,900.00. Untuk pasaran global, model itu ditawarkan dalam jumlah terhad hanya 1,923 unit.
Menurut BMW Motorrad, R 18 100 Years dikeluarkan bagi meraikan ulang tahun ke-100 model pertama syarikat itu iaitu BMW R 32. BMW R 32 diperkenalkan secara rasmi pada tahun 1923, dilengkapi enjin boxer empat lejang dua silinder sejukan udara.
BMW R 18 100 Years 2023 dikuasakan enjin Boxer bersesaran 1,802cc (air / oil cooled two-cylinder four-stroke boxer engine) dengan padanan transmisi enam kelajuan. Enjin itu menjana kuasa maksimum 91hp @ 4,750rpm dengan tork 158Nm @ 3,000rpm.
Melengkapkan model cruiser bergaya klasik itu ialah tangki bahan api 16 liter, tinggi tempat duduk 690 mm, sistem brek cakera dengan ABS, dan tayar depan dan belakang bersaiz 120/70-19 dan 180/65-16. Berat keseluruhannya mencapai angka 345 kg.