Triumph Street Triple 765 RS 2023 dilancarkan di Malaysia, harga RM 73,900.00

Pasaran Malaysia sebelum ini dengan rasminya menerima pelancaran Triumph Street Triple 765 R 2023. Pada masa yang sama, turut dilancarkan ialah versi yang lebih premium untuk model tersebut iaitu Triumph Street Triple 765 RS 2023, dengan harga asas sebanyak RM 73,900.00.

Bagi versi RS, terdapat beberapa perbezaan berbanding versi R. Enjinnya masih bersesaran 765cc (liquid-cooled, 12 valve, DOHC, inline 3-cylinder), namun dengan keluaran kuasa maksimum yang lebih tinggi pada angka 130PS @ 12,000rpm.

Model tersebut seterusnya dilengkapi fork depan Showa Big Piston Forks (BPF) 41 mm, manakala di bahagian belakangnya ialah monoshock Öhlins STX40. Kedua-dua sistem suspensi itu boleh dilaraskan sepenuhnya.

Sistem brek cakera depan pula menggunakan kaliper Brembo Stylema (4-piston radial monobloc calipers). Selain itu, versi RS turut dilengkapi paparan panel meter TFT bersaiz 5.0 inci berwarna sepenuhnya, dan lima mod tunggangan Rain, Road, Sport, Track dan Rider.

Tinggi tempat duduknya 836 mm, manakala berat keseluruhan kurang 1 kg berbanding versi R kepada 188 kg. Akhir sekali, Triumph Street Triple 765 RS 2023 didatangkan dengan tiga pilihan warna yang menarik iaitu Carnival Red, Cosmic Yellow dan Silver Ice.