Honda BeAT 2023 terima kemaskini warna baharu, harga RM 5,990.00

Boon Siew Honda pada hari ini rasmi memperkenalkan model skuter Honda BeAT 2023 untuk pasaran tempatan, yang kini tampil dengan kemaskini warna baharu yang lebih menarik dan segar. Empat pilihan warna baharu itu ialah Kuning, Merah, Biru dan Hitam.

Harga jualan asasnya pula ditetapkan pada RM 5,990.00, iaitu peningkatan sebanyak RM 225.00 berbanding harga asas RM 5,765.00 untuk Honda BeAT 2022. Tempoh jaminan yang ditawarkan oleh Boon Siew Honda untuk model tersebut adalah selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan (yang mana tiba dahulu).

Untuk musim 2023, Honda BeAT masih mengekalkan spesifikasi dan ciri-ciri yang sama seperti mana pada model tahun sebelumnya. Di bahagian enjin, ianya bersesaran 109.5cc (penyejuk udara, SOHC, 2-injap), dan enjin eSP (enhanced Smart Power) itu menghasilkan kuasa maksimum 8.67hp @ 7,500rpm dengan tork maksimum 9.53Nm @ 6,000rpm.

Melengkapkan model tersebut ialah tangki bahan api 4.2 liter, fork depan teleskopik, suspensi belakang tunggal, sistem brek depan cakera dan brek belakang dram dengan CBS (Combined Brake System), lampu depan LED, Smart Lock System, suis tongkat sisi, dan ruang penyimpanan seluas 11.7 liter di bawah tempat duduk.

Honda BeAT 2023 dilengkapi tayar depan dan belakang bersaiz 80/90-14 dan 90/90-14 masing-masing. Tinggi tempat duduk berada pada paras 740 mm. Menurut Boon Siew Honda, model skuter itu akan tersedia di semua pengedar sah Honda mulai tarikh 30hb. Jun 2023.