Salah sebuah model skuter terbaharu yang dipamerkan oleh SYM di pameran EICMA 2022 yang lalu ialah SYM ADX 125 2023. Model tersebut ketika ini telah ditawarkan di pasaran Eropah, dan mungkinkah selepas ini ianya akan dilancarkan di Malaysia?
Namun untuk pasaran Malaysia, lebih baik sekiranya versi yang dilancarkan nanti ialah SYM ADX 150 dengan enjin 150cc. Namun jika hanya versi 125cc yang dilancarkan, ianya sudah memadai kerana harga jualannya nanti akan menjadi lebih berpatutan.
Melihat kepada aspek spesifikasinya, SYM ADX 125 dilengkapi enjin bersesaran 125cc (liquid cooled, EFI, Euro 5) dengan padanan transmisi automatik CVT. Enjin itu menjana kuasa maksimum 12.23hp @ 7,500rpm dengan tork setinggi 11.5Nm @ 7,000rpm.
Pelbagai ciri-ciri menarik yang melengkapinya adalah seperti tangki bahan api 15 liter, sistem kunci Keyless, pengecas USB QC 3.0, panel instrumen TFT 5.0 inci dengan ciri paparan dua mod siang dan malam, dan sistem lampu LED sepenuhnya yang sporty.
Untuk tahap keselamatan dan perlindungan terbaik, SYM ADX 125 juga dilengkapi sistem brek ABS dan TCS (Traction Control System). Ruang storan di bahagian depan dan di bawah tempat duduknya pula boleh memuatkan pelbagai barangan peribadi.
Sebagai sebuah model skuter adventure, tayar depan dan belakangnya yang bersaiz 120/70-13 dan 130/70-13 merupakan daripada jenis dual-purpose. Sistem suspensinya menggunakan fork depan teleskopik, dan di belakangnya ialah suspensi monoshock.
Jika benar SYM ADX 125 2023 ini akan tiba di pasaran Malaysia pada tahun ini, tentu ramai peminat tempatan yang akan menantikan ketibaannya. Namun semua itu bergantung kepada perancangan pengedarnya iaitu MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.