Pasaran Jepun baru-baru ini telah menerima ketibaan model sport bike terbaharu Kawasaki Ninja ZX-4R SE 2023 dan Kawasaki Ninja ZX-4RR KRT Edition 2023. Namun tarikh sebenar untuk kedua-dua model itu berada di pasaran Jepun ialah pada 15hb. Julai 2023. Berikut ialah senarai harga yang ditawarkan :
- Kawasaki Ninja ZX-4R SE 2023 : 1,122,000 Yen (RM 36,706.38)
- Kawasaki Ninja ZX-4RR KRT Edition 2023 : 1,155,000 Yen (RM 37,785.98)
Bagi model Ninja ZX-4R SE, ianya boleh didapati dalam dua pilihan warna menarik iaitu Candy Plasma Blue / Metallic Flat Spark Black dan Metallic Flat Spark Black / Metallic Matte Graphene Steel Gray. Bagi model Ninja ZX-4RR KRT Edition, satu pilihan warnanya ialah Lime Green / Ebony.
Untuk pasaran Jepun, varian Standard seperti di pasaran Thailand tidak ditawarkan. Sementara itu di pasaran Indonesia pula, hanya varian RR sahaja yang ditawarkan. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini masih belum ada perkembangan lanjut mengenai pelancaran model tersebut daripada pihak pengedar EMOS (Edaran Modenas Sdn. Bhd.).
Ninja ZX-4R SE dan Ninja ZX-4RR KRT Edition dikuasakan enjin bersesaran 399cc (liquid-cooled, in-line four, DOHC, 16 valves) dengan padanan sistem transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch dan Dual Direction KQS (Kawasaki Quick Shifter). Kuasa maksimum yang dihasilkan berada pada paras 77PS @ 14,500rpm (80PS dengan Ram Air) dengan tork maksimum 39Nm @ 13,000rpm.
Kedua-dua varian itu kemudiannya dilengkapi fork depan jenis terbalik SFF-BP 37 mm. Bagi varian SE, suspensi belakangnya ialah monoshock Horizontal Back-link dengan pelarasan prabeban, sementara varian RR dilengkapi suspensi belakang monoshock versi premium iaitu Horizontal Back-link BFRC Lite dengan ciri boleh laras sepenuhnya.
Ninja ZX-4R SE dan ZX-4RR KRT Edition seterusnya dilengkapi sistem brek cakera depan berkembar 290 mm dan brek cakera belakang tunggal 220 mm, bersama-sama ABS Dual Channel. Roda depan dan belakang masing-masing bersaiz 120/70-17 dan 160/60-17. Tangki bahan api hadir dengan kapasiti penuh 15 liter.
Pelbagai spesifikasi dan ciri-ciri menarik lain yang melengkapi kedua-dua varian Ninja ZX-4R itu adalah seperti Riding Mode (Sport, Road, Rain, Rider), KTRC, Power Mode, panel TFT 4.3 inci dengan pilihan mod Normal dan Circuit, dan sistem lampu LED. Varian SE turut dilengkapi Smoked Windshield, USB Power Socket dan Frame Slider sebagai ciri standard.
Tinggi tempat duduk 800 mm, dan berat jentera sport bike sporty dan berprestasi tinggi itu berada pada angka 190 kg (SE) dan 189 kg (RR). Menurut Kawasaki, siri Ninja ZX-4R yang dijual di pasaran Jepun merupakan produk buatan Thailand.
Galeri : Kawasaki Ninja ZX-4R SE 2023 (Japan)
Galeri : Kawasaki Ninja ZX-4RR KRT Edition 2023 (Japan)