Suzuki V-Strom 800DE 2023 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga pengenalan RM 60,800.00

Suzuki Malaysia pada tarikh 18hb. Jun 2023 baru-baru ini dengan rasminya telah melancarkan dua buah model terbaharu yang ditunggu-tunggu iaitu Suzuki GSX-8S 2023 dan Suzuki V-Strom 800DE 2023.

Untuk pasaran Malaysia, Suzuki V-Strom 800DE tampil dengan dua pilihan warna menarik iaitu Champion Yellow dan Glass Matt Mechanical Grey. Warna Glass Sparkle Black pula tidak ditawarkan. Harga pengenalannya ditetapkan sebanyak RM 60,800.00 untuk pendaftaran 50 unit terawal. Ini bermakna harga rasminya nanti akan meningkat ke paras yang lebih tinggi.

Suzuki V-Strom 800DE dilengkapi enjin bersesaran 776cc (4-stroke, 2-cylinder, liquid cooled, DOHC, 270° crank) dengan transmisi enam kelajuan, Suzuki Clutch Assist System (SCAS) dan Bi-directional Quick Shift System. Kuasa maksimumnya mencapai 84.3PS @ 8,500rpm dengan tork maksimum 78Nm @ 6,800rpm. Kapasiti tangki bahan apinya 20 liter.

Sistem suspensi depan dan belakangnya daripada Showa, dengan ciri boleh dilaraskan sepenuhnya. Sistem brek cakera depan dan belakang dilengkapi ABS Dual Channel, yang mana ABS di bahagian belakang boleh dinyahaktifkan. Seterusnya tayar depan dan belakang masing-masing berukuran 90/90-21 dan 150/70-17. Jarak kelegaan bumi minimum 220 mm.

Sistem lampu semuanya LED. Panel meter mempunyai paparan TFT bersaiz 5.0 inci. Sistem elektronik Suzuki Traction Control System (STCS) mempunyai tiga mod jalanan, di samping tambahan mod G (gravel). Malah STCS juga boleh dinyahaktifkan. Turut melengkapi Suzuki V-Strom 800DE ialah Suzuki Easy Start System, ride-by-wire, Low RPM Assist, dan Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) dengan mod A (Active), B (Basic) dan C (Comfort).

Tinggi tempat duduknya 855 mm, manakala berat penuh 230 kg (kerb mass). Suzuki V-Strom 800DE 2023 ini sangat sesuai untuk para peminat motosikal adventure, terutamanya untuk yang sukakan aktiviti penjelajahan jarak jauh, termasuklah di kawasan desa dan pedalaman.