Aveta Malaysia Sdn. Bhd. kini memperkenalkan Aveta V13R 2023, seperti mana yang dipaparkan di dalam laman sesawang rasmi mereka. Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada laman Facebook pula, model tersebut tampil sporty dengan empat pilihan skim warna dan grafik terbaharu.
Skim warna dan grafik terbaharu itu pula merupakan versi terbaharu berbanding skim warna yang diperkenalkan sebelum ini, untuk model dengan lampu depan mirip Yamaha Y15ZR 2023 itu. Malah apa yang menariknya ialah skim warna dan grafik untuk kedua-dua model tersebut adalah sama. Rasanya bukan tiruan, sebaliknya hanya mengambil inspirasi.
Berdasarkan maklumat di dalam brosur, Aveta V13R 2023 ini dilengkapi enjin bersesaran 130cc dengan sistem penyampaian bahan api jenis karburetor dan sistem penyejukan udara. Enjin itu kemudiannya dipadankan transmisi empat kelajuan. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 10hp (7.5kW) @ 8,000rpm dengan tork 10.5Nm @ 5,500rpm.
Spesifikasi lain untuk model kapcai bergaya moped itu termasuklah tangki petrol 4.5 liter, fork depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar, brek cakera depan, brek cakera belakang, tayar depan dan belakang bersaiz 70/90-17 dan 100/80-17, lampu depan LED dengan ciri lampu DRL, dan juga kemudahan port pengecas USB.
Harga jualan rasminya tidak dapat dipastikan dengan tepat, namun dipercayai mampu milik dan sangat sesuai untuk pengguna yang hanya memerlukan sebuah motosikal bajet. Untuk anda yang mahu bergaya ala menunggang sebuah model Yamaha Y15ZR, sudah tentu Aveta V13R 2023 yang sporty ini merupakan suatu pilihan yang tepat.
Sumber gambar : Iqmal Ateh Kw Motor dan Niesa Ckt Motor