MForce Bike bakal melancarkan model baharu, adakah ianya Brixton Cromwell 1200?

MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. melalui laman Facebook MForce TV telah menyiarkan paparan teaser sebuah model motosikal terbaharu, yang bakal dilancarkan pada tarikh 22hb. Jun 2023 (Khamis). Adakah ianya model terbaharu Brixton Cromwell 1200?

Imbas kembali pada September 2022 yang lalu, model tersebut pernah dipertontonkan kepada peminat motosikal tempatan oleh MForce Bike, ketika merasmikan pembukaan MForce SmartShop S H Bikers Sdn. Bhd., yang beralamat di No. 15 & No. 17, Jalan PSK 9, Pusat Perdagangan Seri Kembangan, 43300, Seri Kembangan, Selangor.

Ketika itu menurut MForce Bike, harganya sekitar RM 50k sahaja, menjadikannya begitu kompetetif. Ini kerana Brixton Cromwell 1200 dikuasakan enjin 1,222cc (in-line, 2 cylinder, 4-stroke, water cooled) dengan kuasa maksimum 83PS @ 6,550rpm dan tork maksimum 108Nm @ 3,100rpm. Kelajuan maksimumnya pula mencecah 198 km/j.

Spesifikasi menarik lainnya termasuklah tangki bahan api 16 liter, sistem brek ABS Dual Channel, mod tunggangan Eco dan Sport, Traction Control, Cruise Control, dan panel instrumen TFT. Untuk maklumat lanjut, sama-samalah kita nantikan pelancarannya.