Di pasaran Malaysia pada ketika ini, para peminat motosikal super moped mempunyai pelbagai pilihan model-model yang menarik. Salah satu daripadanya ialah SYM VF3i 185 LE V2 2022, yang tampil sporty dengan pilihan warna baharu Royal Orange.
Pilihan warna tersebut diperkenalkan pada tahun lepas, dan dengan pantas ianya telah berjaya menarik perhatian daripada ramai peminat motosikal tempatan. Berdasarkan maklumat terdahulu, harga jualan asasnya ditawarkan sekitar RM 9,800.00 sahaja.
Antara kelebihan yang ditawarkan oleh SYM VF3i 185 LE V2 ini termasuklah enjinnya yang cukup berkuasa, bersesaran 183cc dengan kuasa maksimum 19.7hp @ 9,000rpm dan tork 17.4Nm @ 7,500rpm. Ejin itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.
Di samping itu, ianya juga dilengkapi tangki bahan api yang bersaiz besar iaitu 7.0 liter, pastinya sangat sesuai untuk aktiviti tunggangan dalam jarak jauh. Sistem brek ABS pula memastikan model tersebut lebih selamat dalam pelbagai situasi tunggangan.
Ciri-ciri menarik lain adalah seperti visor aero yang aerodinamik, panel meter bergaya, lampu DRL LED yang terang, dan lampu belakang LED. Untuk peminat yang mahukan sebuah model super moped berkuasa, mungkin inilah antara pilihan yang terbaik.