Kawasaki Z900 SE 2023 dilancarkan di pasaran Malaysia

Selain model Kawasaki Z900 2023 yang merupakan varian Standard, Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS) turut melancarkan Kawasaki Z900 SE 2023. Varian Special Edition itu didatangkan dengan hanya satu pilihan warna tunggal iaitu Candy Lime Green.

Berbanding varian Standard, varian SE mempunyai beberapa spesifikasi premium yang lebih menarik, melibatkan sistem brek depan, fork depan dan sistem suspensi belakang. Oleh itu harga yang ditawarkan untuknya meningkat sedikit, kepada RM 55,900.00.

Di bahagian brek depan, Z900 SE menggunakan pakej daripada Brembo untuk prestasi pemberhentian yang lebih mantap. Suspensi depan menggunakan fork Showa USD 41 mm dengan ciri boleh laras sepenuhnya, di samping warna emas yang menyerlah.

Suspensi belakang merupakan unit Öhlins S46, dengan kelengkapan ‘remote preload adjuster’ untuk kemudahan pelarasan yang lebih pantas. Dengan setiap peningkatan itu, Z900 SE kini menawarkan keselesaan dan tahap pengendalian yang lebih hebat.

Untuk makluman anda, Kawasaki Z900 SE 2023 untuk pasaran Malaysia ini merupakan versi pemasangan tempatan atau CKD. Ianya dipasang di kilang Modenas yang terletak di Gurun, Kedah. Oleh itu tidak hairanlah harga yang ditawarkan begitu berpatutan.