Super Moped Modenas bakal dilancarkan pada tahun 2025, prototaip serba baharu sedang diuji di luar negara

Agak lama tidak mendengar berita mengenai model Super Moped Modenas. Sebelum ini pada pertengahan tahun lepas, pembangunan model yang amat ditunggu-tunggu itu dikatakan telah berjalan semula, melalui kerjasama dan bantuan daripada Kawasaki.

Terkini menurut beberapa sumber tempatan dan luar negara, Modenas dan Kawasaki telah berjaya menyiapkan prototaip serba baharu untuk model Super Moped Modenas. Ini kerana prototaip terdahulu dikatakan telah ketinggalan zaman dan tidak lagi sesuai.

Dengan prototaip serba baharu itu, Super Moped Modenas dikatakan bakal menjanjikan sebuah model yang lebih moden dan canggih, di samping lebih berkuasa dan juga lebih sporty. Pelancarannya pula dijadualkan berlangsung pada tahun 2025 akan datang.

Setakat ini menurut sumber, prototaip Super Moped Modenas serba baharu itu sedang menjalani ujian di luar negara, mungkin di Jepun. Bagaimanapun tiada bukti kukuh bagi menyokong kenyataan terbaharu itu, seperti paparan gambar spyshot dan sebagainya.

Jika laporan tersebut benar, mungkin pada tahun 2024 akan datang, kita boleh melihat gambaran awal model super moped tersebut, apabila ianya ditunggang uji oleh pihak Modenas di jalan raya, yang kebiasaannya berdekatan kilang mereka di Gurun, Kedah.

Untuk pasaran Malaysia, para peminat tempatan ketika ini sangat mengharapkan yang Super Moped Modenas akan dilengkapi enjin berkapasiti besar, di antara 150cc hingga 180cc, bagi memberikan cabaran sebenar kepada model-model super moped lain.

Ketika ini pasaran tempatan dikuasai oleh beberapa model popular seperti Honda RSX, Yamaha Y16ZR, Suzuki Raider R150 FI, SYM VF3i 185, Benelli R18i, dan juga Aveta SVR180. Jadi, adakah Modenas Super Moped itu akan mampu memberikan saingan?

Jika reka bentuknya menarik dan sporty, serta dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri yang lebih canggih berbanding model-model lain, tidak mustahil Super Moped Modenas akan berjaya memecah dominasi, seterusnya akan menjadi pilihan ramai peminat tempatan.

Artikel berkaitan :