Italjet Dragster 500GP akan tiba di pasaran pada tahun 2024

Bertempat di EICMA 2022 yang lalu, Italjet secara rasmi telah memperkenalkan sebuah model konsep terbaharu yang cukup menarik, diberi nama Italjet Dragster 500GP.

Ketika itu, Italjet telah pun mengumumkan bahawa model konsep tersebut akan menjadi model produksi, dan akan diperkenalkan di pasaran Eropah pada tahun 2024 nanti.

Baru-baru ini pula menurut sumber dari Eropah, Italjet sekali lagi mengesahkan bahawa pembangunan model tersebut ketika ini berjalan lancar dan mengikut perancangan.

Selepas pelancarannya di pasaran Eropah, Italjet Dragster 500GP yang bergaya sporty dan agresif itu dijangka akan turut tiba di pasaran lain, mungkin termasuk Malaysia.

Berdasarkan maklumat terdahulu, spesifikasi model itu termasuklah enjin 450cc (Single Cylinder, 4 strokes, 4 valves, liquid cooled – Double overhead camshaft DOHC) dengan transmisi enam kelajuan, multi-disc wet clutch dan rantai sebagai pemacu akhirnya.

Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu dikatakan mencapai paras 43hp @ 8,000rpm, di samping tork maksimum yang mencecah angka 43Nm @ 6,000rpm.

Pelbagai spesifikasi lainnya ialah seperti fork depan terbalik 47 mm, suspensi belakang jenis ‘double hydro-pneumatic adjustable’, serta brek cakera depan berkembar 270 mm dan brek cakera belakang 230 mm dengan kaliper Brembo, lengkap dengan ABS.

Ketinggian tempat duduknya ialah 820 mm, kapasiti tangki bahan api 12 liter, dan berat keringnya hanya 180 kg. Untuk anda, saksikan gambar-gambar menariknya di bawah.