Antara model moped popular dan mencatatkan jualan terlaris di pasaran Malaysia pada ketika ini ialah Honda RS-X, yang dilancarkan pada bulan November 2021 yang lalu.
Kemudiannya pada bulan April 2022, Honda RS-X Repsol Edition 2022 diperkenalkan dalam edisi terhad, dan diikuti pelancaran Honda RS-X 2023 pada Disember 2022.
Selepas ini pada penghujung tahun 2023, mungkin pada bulan Disember, kemungkinan besar pihak Boon Siew Honda akan memperkenalkan pula model Honda RS-X 2024.
Apakah perbezaan yang akan dibawakan oleh Honda RS-X 2024? Adakah masih kekal dengan teknologi ‘kejuruteraan coverset’, atau tampil dengan versi facelift terbaharu?
Setakat ini berdasarkan pemerhatian, dijangkakan Honda RS-X 2024 akan dilancarkan dengan reka bentuk facelift terbaharu, sama seperti model Honda Winner X 2022.
Di samping itu, ianya akan menerima pilihan skim warna dan grafik terbaharu yang lebih menarik, contohnya mungkin seperti model Honda Winner X Sports Version 2023.
Antara ciri paling mengujakan sudah tentu lampu signal depan yang direka semula jenis terbina dalam di fairing sisi, menjadikannya tidak mudah patah dan kini lebih selamat.
Ciri-ciri terbaharu lain adalah seperti Honda Smart Key, port pengecas USB, rantai jenis O-ring (seal chain), dan muncung paip ekzos yang kini telah direndahkan sudutnya.
Bagaimanapun jika ada peminat yang mengharapkan Honda RS-X 2024 ini akan tampil dengan naik taraf yang lebih premium, harapan itu dijangka tidak menjadi kenyataan.
Ini kerana spesifikasi terbaharu seperti enjin 160cc, Assist & Slipper Clutch, HSTC, dan sistem brek ABS Dual Channel dijangka eksklusif untuk model Honda Winner X 160.
Namun begitu, sama ada Honda RS-X 2024 dan Honda Winner X 160 2024, setakat ini masih belum dapat dipastikan sama ada kedua-duanya akan wujud tidak lama lagi.
Cuma apa yang boleh dikatakan, kedua-dua model tersebut tidak mustahil akan muncul secara rasmi pada masa akan datang, hanya masa sahaja yang akan menentukan.
Untuk peminat Honda RS-X 2024, sama-samalah kita berharap pihak Boon Siew Honda akan menjadikan model moped itu sebagai realiti, paling awal pada hujung tahun ini.