Kawasaki KX250X 2023 kini di Malaysia, harga RM 35,500.00

Bertempat di Malaysia Autoshow 2023 baru-baru ini, Kawasaki Malaysia bukan sekadar melancarkan Kawasaki KX250 2023, malah juga model Kawasaki KX250X 2023.

Sekali pandang, kedua-dua model tersebut kelihatan sama sahaja, namun harga jualan yang ditawarkan untuk KX250X ialah sebanyak RM 35,500.00, lebih RM 500.00.

Jadi apakah ciri-ciri tambahan yang melengkapi KX250X berbanding KX250? Antaranya ialah saiz tayar, di mana tayar belakang KX250X tampil dengan saiz 110/100-18.

Selain itu, Kawasaki KX250X turut dilengkapi tongkat sisi dan skid plate di bawah enjin sebagai ciri standard. Brek cakera belakangnya juga hadir dengan cover pelindung.

Perbezaan lain berdasarkan maklumat dari Kawasaki Motor Europe ialah tinggi tempat duduknya berada pada paras 945 mm, dan jarak kelegaan bumi mencapai 330 mm.

Selanjutnya berat keseluruhan KX250X ialah 109.2 kg. Spesifikasi lain kekal sama bagi kedua-dua model tersebut, termasuk enjin, sistem suspensi dan ciri-ciri yang lain.