MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. baru-baru ini dengan rasmi telah melancarkan sebuah model skuter terbaharu untuk pasaran Malaysia, iaitu WMoto Gemma 125 2023.
Majlis pelancaran model tersebut berlangsung di Malaysia Autoshow 2023, bertempat di MAEPS, Serdang, Selangor, yang diadakan bermula dari 4 sehingga 7 Mei 2023.
WMoto Gemma 125 dikuasakan enjin bersesaran 117.3cc dengan sistem sejukan udara dan suntikan bahan api, yang kemudiannya dipadankan dengan transmisi automatik.
Enjin itu menawarkan kuasa maksimum 8.3hp @ 7,500rpm dengan tork setinggi 9.8Nm @ 6,000rpm. Tangki bahan apinya pula hadir dengan kapasiti maksimum 4.5 liter.
Melengkapkan spesifikasi WMoto Gemma 125 ini ialah brek cakera depan, sistem kunci pintar Passive Keyless Entry (PKE), panel meter TFT 3.5 inci dan sistem lampu LED.
Selain itu ianya juga dilengkapi ruang storan depan dengan pengecas USB, sistem brek parking, tempat duduk kulit, dan ruang storan yang luas di bawah tempat duduknya.
Untuk pasaran Malaysia, WMoto Gemma 125 2023 ini tampil dengan dua pilihan warna iaitu Special Purple dan Refined Grey, dengan harga asas sebanyak RM 6,988.00.
Tempoh jaminannya ditawarkan selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan. Untuk kemudahan, perkhidmatan pembelian alat ganti tulen di atas talian turut ditawarkan.