Suzuki Malaysia baru-baru ini secara rasminya melancarkan model adventure terbaharu iaitu Suzuki V-Strom 1050 DE 2023, bertempat di acara Malaysia Autoshow 2023.
Tampil dengan dua pilihan warna menarik Champion Yellow / Metallic Matt Sword Silver dan Glass Sparkle Black / Metallic Mat Black, harga asasnya ialah RM 88,800.00.
Suzuki V-Strom 1050 DE dikuasakan enjin 1,037cc (4-stroke, liquid-cooled, DOHC, 90˚ V-Twin) yang menawarkan 107.4PS @ 8,500rpm dengan tork 100Nm @ 6,000rpm.
Enjin bertaraf Euro 5 itu seterusnya dipadankan sistem transmisi enam kelajuan. Untuk jarak perjalanan yang lebih jauh, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 20 liter.
Suzuki V-Strom 1050 DE menggunakan rim roda depan bersaiz 21 inci, manakala saiz rim roda belakangnya ialah 17 inci. Sistem suspensinya berjenama KYB, tampil dengan ciri boleh laras sepenuhnya, dan menyumbang kepada tinggi tempat duduk 850 mm.
Antara ciri-ciri menarik lain pada model adventure itu termasuklah mod ABS yang boleh dimatikan pada bahagian belakang sepenuhnya, Traction Control dengan mod G untuk tunggangan off-road, Bi-directional Quick Shift System (QS), dan skrin TFT 5.0 inci.
Untuk lebih kemudahan, turut tersedia tongkat tengah, pelindung tangan, port pengecas USB berdekatan skrin TFT, dan juga soket 12V yang berada di bawah tempat duduk.
Sistem lampu merupakan LED sepenuhnya. Dengan setiap pembelian, tempoh jaminan ditawarkan selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan, yang mana tiba dahulu.