Dalam bulan April 2023 yang lepas, KTM dengan rasminya mengumumkan pelancaran sebuah model supermoto terbaharu iaitu KTM 890 SMT 2023 untuk pasaran Eropah.
Model berkenaan dilengkapi enjin LC8c bersesaran 889cc (2-cylinder, 4-stroke, parallel twin) dengan kuasa maksimum 105hp @ 8,000rpm dan tork 100Nm @ 6,500rpm.
Sistem transmisinya ialah enam kelajuan. Sistem suspensi berjenama WP Apex (43 mm open cartridge upside-down forks at 180 mm of travel and same for the shock) dengan ciri boleh laras sepenuhnya, dan dipadankan dengan sepasang roda bersaiz 17 inci.
Sistem brek depan pula terdiri daripada brek cakera berkembar 320 mm dengan kaliper empat piston, dan brek cakera belakang 260 mm lengkap dengan kaliper dua piston.
Jentera agresif yang mempunyai berat kering 194 kg itu kemudiannya dilengkapi tangki bahan api maksimum 15.8 liter. Tinggi tempat duduknya berada pada paras 860 mm.
Melengkapkan lagi spesifikasi standard pada KTM 890 SMT 2023 ini adalah seperti tiga mod tunggangan iaitu Rain, Street, Sport, Cornering Motorcycle Traction Control (MTC), Cornering ABS, Supermoto ABS, paparan TFT 5.0 inci, dan tayar Michelin PowerGP.
Spesifikasi pilihan pula termasuk mod tunggangan Track, pemanas genggaman (heated grips), Motor Slip Regulation (MSR), QUICKSHIFTER+ dan sistem Cruise Control.
KTM 890 SMT 2023 tersedia di pasaran Eropah mulai April, manakala pasaran Amerika Utara dikhabarkan tidak akan menerima jentera supermoto itu bagi model tahun 2023.