Honda PCX160 2023 terima warna baharu di pasaran Jepun

Pada bulan Januari yang lepas, Honda PCX160 2023 di pasaran Jepun telah menerima dua pilihan warna terbaharu iaitu Matte Mine Brown Metallic dan Poseidon Black.

Di samping itu, dua pilihan warna bagi model tahun sebelumnya Matt Dim Gray Metallic dan Pearl Jasmine White masih dikekalkan, kepada empat pilihan warna kesemuanya.

Perubahan lain ialah tempat duduk model skuter tersebut kini didatangkan dengan skim warna hitam sepenuhnya, dan enjinnya juga kini telah mematuhi piawaian emisi terkini.

Untuk pasaran Jepun, Honda PCX160 2023 ditawarkan dengan harga jualan sebanyak 412,500.00 Yen, bersamaan nilai RM 13,629.35 mengikut kadar mata wang semasa.

Imbas kembali, model berkenaan dikuasakan enjin eSP+ 156cc (liquid-cooled, 4-stroke, OHC, 4-valve) dengan janaan kuasa 15.8PS @ 8,500rpm dan tork 15Nm @ 6,500rpm.

Enjin yang cekap, ekonomi dan mesra alam itu dipadankan dengan transmisi automatik V-Matic. Untuk perjalanan lebih jauh, ianya dilengkapi tangki petrol berkapasiti 8.1 liter.

Fork depannya merupakan jenis teleskopik, bergandingan dengan suspensi berkembar di bahagian belakang. Sistem brek cakeranya lengkap dengan ABS Single Channel.

Tinggi tempat duduknya berada pada paras 764 mm. Saiz roda depan dan belakangnya masing-masing ialah 110/70-R14 dan 130/70-R13, dan berat keseluruhannya 133 kg.

Melengkapkan lagi ciri-ciri menarik PCX160 ini termasuklah Idling Stop System, Honda Selectable Torque Control, Smart Key, pengecas USB, meter digital, dan lampu LED.

Untuk lebih kemudahan, turut tersedia ialah ruang storan di bawah tempat duduk seluas 30 liter. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum ada berita mengenai pelancarannya.

Artikel berkaitan :