Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 dilancarkan di pasaran Vietnam

Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 telah dilancarkan di pasaran Vietnam pada Februari 2022 yang lepas, dengan harga jualan VND 197,300,000, bersamaan nilai RM 37,769.63.

Pilihan warna yang ditawarkan ialah Metallic Gray dan Lime Green (KRT Edition), yang memberikan makna bahawa model tersebut merupakan varian pertengahan iaitu SE.

Di pasaran Indonesia, terdapat tiga varian yang ditawarkan iaitu Standard, SE dan juga ZX-25RR. Setakat ini nampaknya pasaran Vietnam hanya menerima varian SE sahaja.

Imbas kembali spesifikasinya, Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 ini dilengkapi enjin 249.8cc (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves) dengan teknologi 4-silinder.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch dan juga sistem Kawasaki Quick Shifter (KQS) untuk penukaran gear yang lebih lancar.

Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh model tersebut untuk versi di pasaran Vietnam ialah sebanyak 46PS (47PS dengan Ram Air) @ 15,500rpm dan tork 22Nm @ 12,500rpm.

Di bahagian suspensi, ianya dilengkapi fork depan SFF-BP 37 mm (Separate Function Fork – Big Piston) dan suspensi belakang Horizontal Back-Link (pelarasan prabeban).

Sistem brek terdiri daripada brek cakera depan ‘radial-mount monobloc caliper’ 310 mm dengan empat piston, di samping brek cakera belakang tunggal berdiameter 220 mm.

Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 dilengkapi tayar bersaiz 110/70-R17 (depan) dan 150/60-R17 (belakang). Tinggi tempat duduk 785 mm, dan kapasiti tangki bahan api 15 liter.

Pelbagai ciri-ciri menarik lainnya ialah KTRC (Kawasaki Traction Control), Power Mode Selection, Centre Ram Air System, Electronic Throttle Valves dan sistem brek ABS.

Lebih mengujakan, ianya kini dilengkapi panel meter baharu TFT dengan Circuit Mode, dan sistem sambungan ke telefon pintar dengan menggunakan aplikasi RIDEOLOGI.

Akhir sekali sistem ekzosnya tampil dengan rekaan baharu yang lebih bersih dan mesra alam. Untuk pasaran Malaysia, nantikan pelancaran Modenas Ninja ZX-25R 2023.