Benelli RCX 185 2023 di pasaran Greece, harga RM 14,569.37

Model moped terbaharu Benelli RCX 185 2023 secara rasminya ditawarkan di pasaran Greece, dengan harga jualan sebanyak 2,985.00 €, bersamaan nilai RM 14,569.37.

Berdasarkan paparan di dalam laman sesawang rasmi Benelli Greece, model moped itu dilengkapi enjin bersesaran 174cc (single cylinder, liquid cooled, 4 valve, four stroke).

Enjin bertaraf Euro 5 itu seterusnya digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, dan menjana kuasa maksimum 18hp @ 9,500rpm dengan tork 15.2Nm @ 6,000rpm.

Spesifikasi lain yang melengkapi Benelli RCX 185 2023 ini termasuklah fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock, dan brek cakera dengan ABS Dual Channel.

Selain itu ianya turut dilengkapi tangki bahan api 4.8 liter, saiz roda depan dan belakang 70/90-17 dan 110/70-17, tinggi tempat duduk 787 mm, dan berat kering hanya 126 kg.

Sistem lampu merupakan jenis LED sepenuhnya, di samping paparan panel meter versi digital sepenuhnya. Pilihan warna sporty yang ditawarkan pula ialah tiga kesemuanya.

Menurut Benelli, kelajuan maksimum RCX 185 ialah 120 km/j. Sementara itu di pasaran Malaysia, model yang sama iaitu Benelli R18i telah pun dilancarkan pada tahun 2021.