Di pasaran negara jiran Indonesia, salah sebuah model motosikal sport bike yang masih dijual pada tahun 2023 ini ialah Kawasaki Ninja 250SL model keluaran tahun 2020.
Untuk makluman, Kawasaki Ninja 250 dikuasakan enjin bersesaran 250cc dengan dua silinder, dan Kawasaki Ninja ZX-25R dilengkapi enjin 250cc dengan empat silinder.
Namun bagi model Kawasaki Ninja 250SL, ianya dilengkapi enjin 250cc dengan hanya satu silinder. Mungkin sebab itulah stok model berkenaan masih ada sehingga kini.
Untuk pasaran Indonesia, harga jualan yang ditawarkan untuk Kawasaki Ninja 250SL ini ialah sebanyak Rp. 36,400,000, bersamaan RM 10,942.47 sahaja (kadar semasa).
Harga sebanyak itu boleh dikatakan sangat berpatutan dan mampu milik. Namun untuk pasaran Malaysia, harga model tersebut yang juga masih dijual adalah agak tinggi.
Berdasarkan maklumat di dalam laman jual beli Mudah.my, Kawasaki Ninja 250SL yang dipercayai keluaran tahun 2021 itu ditawarkan dengan harga jualan RM 16,300.00.
Sebagai perbandingan, Modenas Ninja 250 (tanpa ABS) ketika ini boleh dimiliki dengan harga asas RM18,900.00, dan RM 20,500.00 untuk Modenas Ninja 250 (varian ABS).
Artikel berkaitan : Modenas Ninja 250 2022 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas bermula dari RM 18,900.00
Menurut maklumat daripada penjual di dalam Mudah.my, ketika ini hanya terdapat dua unit terakhir Kawasaki Ninja 250SL yang masih lagi ditawarkan di pasaran Malaysia.
Kawasaki Ninja 250SL dikuasakan enjin 249cc (liquid-cooled, 4-stroke, single-cylinder, DOHC, 4 valves), dengan kuasa 28PS @ 9,700rpm dan tork 22.6Nm @ 8,200rpm.
Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Model sport bike itu mempunyai berat penuh 151 kg, dan dilengkapi tangki bahan api 11 liter.
Spesifikasi menariknya yang lain ialah seperti fork depan teleskopik, suspensi belakang Uni-Trak Swingarm, brek cakera depan dan belakang, dan ketinggian pelana 780 mm.
Kawasaki Ninja 250SL berdiri di atas tayar depan dan belakang yang bersaiz 100/80-17 dan 130/70-17. Adakah model ini masih menjadi pilihan anda pada tahun 2023 ini?