Yamaha Y16ZR Doxou Edition 2023 dilancarkan, harga RM 11,818.00

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini dengan rasminya melancarkan model moped terbaharu yang ditunggu-tunggu, iaitu Yamaha Y16ZR Doxou Edition 2023.

Dengan setiap pembelian model berkenaan, HLYM turut menawarkan Sijil Pengesahan, lambang Doxou dengan nombor siri khas, sport fender yang eksklusif, di samping kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 yang diberikan secara percuma.

Yamaha Y16ZR Doxou Edition 2023 merupakan sebuah model moped sporty yang kini tampil dengan skim warna yang cukup menarik. Bagaimanapun di bahagian spesifikasi, ianya masih kekal sama, seperti mana model standard Yamaha Y16ZR 2023.

Antaranya termasuklah enjin  dalam sesaran 155cc (sejukan cecair, 4-lejang, SOHC, 4-injap) dengan teknologi VVA, transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch.

Enjin yang cekap dan berprestasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 17.7hp @ 9,500rpm, dengan tork maksimum 14.4Nm @ 8,000rpm. Model tersebut juga dilengkapi fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, dan sistem brek cakera.

Spesifikasi lain ialah tangki petrol 5.4 liter, sistem kunci pintar, soket kuasa 12V DC, suis pemati enjin, paparan panel meter digital LCD, dan lampu depan dan belakang LED.

Yamaha Y16ZR Doxou Edition 2023 ditawarkan dalam jumlah terhad 5,000 unit sahaja. Harga jualan asasnya ialah sebanyak RM 11,818.00, tidak termasuk insuran, cukai jalan dan pendaftaran. Model ini telah berada di pasaran bermula tarikh 08hb. Mei 2023.