KTM 390 Adventure X 2023 versi mampu milik dilancarkan di pasaran India

Pasaran India kini menerima model terbaharu KTM 390 Adventure X 2023, yang mana ianya merupakan versi lebih mampu milik berbanding KTM 390 Adventure 2023.

Harga jualannya ditetapkan sebanyak Rs 280,000.00, bersamaan hanya RM 15,127.98. Jadi apakah perbezaan dan ciri-ciri yang ditawarkan oleh KTM 390 Adventure X 2023?

KTM 390 Adventure X sebenarnya merupakan model asas berbanding model standard, dan beberapa spesifikasi dan ciri-ciri pada model standard kini tidak lagi ditawarkan.

Antaranya seperti panel meter TFT 5.0 inci dengan ciri sambungan Bluetooth ke telefon pintar, sistem Riding Mode, Motorcycle Traction Control (MTC), dan Cornering ABS.

Model tersebut juga hanya dilengkapi rim aloi berbanding rim berjejari yang melengkapi model standard bagi musim 2023. Rim aloi itu adalah sama seperti model tahun 2022.

Namun spesifikasi dan ciri-ciri yang melengkapi KTM 390 Adventure X ini tetap menarik, seperti panel meter digital LCD dan ABS Dual Channel dengan mod OFFROAD ABS.

Spesifikasi yang lain masih sama seperti model standard, termasuklah enjinnya dengan transmisi enam kelajuan dan slipper clutch, Ride-By-Wire, dan sistem lampu LED.

Sumber : RideApart.com