Pada tarikh 14hb. Februari 2023 yang lepas, Yamaha Vino 2023 telah diperkenalkan di pasaran Jepun, kini tampil dengan tiga warna terbaharu Yellow, Beige dan Brown.
Pada masa yang sama, tiga pilihan warna dari musim 2022 masih ditawarkan iaitu Light Blue, Matte Green dan Black, menjadikan pilihan warnanya kini enam kesemuanya.
Untuk pasaran Jepun, Yamaha Vino 2023 memiliki harga jualan sebanyak 214,500 Yen, yang bersamaan RM 7,101.18 berdasarkan nilai kadar tukaran mata wang semasa.
Di bahagian teknikal, model skuter yang bergaya retro itu dikuasakan enjin 49cc (single-cylinder, water-cooled, 4-stroke, SOHC, 2-valve) dengan transmisi automatik CVT.
Enjin sekecil itu menawarkan kuasa maksimum 4.5PS @ 8,000rpm dengan tork puncak 4.1Nm @ 6,000rpm. Tangki bahan apinya pula mempunyai kapasiti penuh 4.5 liter.
Yamaha Vino 2023 seterusnya dilengkapi brek dram depan dan belakang dengan CBS (Combi-Brake System), dan sepasang tayar tanpa tiub yang berukuran 80/100-R10.
Turut melengkapinya ialah Idling Stop, tayar belakang yang boleh dikunci menggunakan tuil brek belakang, ruang storan depan, pengecas 12V, dan penyangkut boleh lipat.
Selain itu ialah sistem kunci anti kecurian, panel meter dengan paparan jam dan fungsi penetapan masa untuk penukaran minyak enjin, dan storan 20 liter di bawah pelana.