Lifan KPV150 Pro 2023 diperkenalkan dengan kamera depan

Model skuter terbaharu Lifan KPV150 Pro 2023 baru-baru ini secara rasmi dilancarkan di pasaran negara China, dalam dua pilihan varian iaitu Standard dan Smart.

Berbanding model sebelumnya dan juga model WMoto Xtreme 150i yang dilancarkan di pasaran Malaysia, KPV150 Pro kini tampil dengan beberapa naik taraf menarik.

Antaranya perubahan di bahagian luaran, termasuklah rekaan baharu lampu depannya, dan kelengkapan kamera ‘dashcam’ di bahagian depannya untuk varian Smart.

Sebelum ini di pasaran Malaysia, model skuter terbaharu Aveta VADV150 Hybrid 2023 tampil lebih canggih dengan ciri dua kamera di bahagian depan dan belakangnya.

Perubahan lain yang ditawarkan oleh KPV150 Pro adalah seperti rekaan baharu fairing kecil depan, casis telah diperkuatkan semula, dan panel meter digital LCD baharu.

Ciri-ciri sebelumnya yang dikekalkan ialah sistem brek ABS Dual Channel, sistem lampu LED, sistem kunci keyless, dua port pengecas 12V dan USB, dan dua poket depan.

Bahagian enjin turut menerima naik taraf, kini dilengkapi teknologi empat injap, dengan kuasa maksimum meningkat kepada 16.4hp dengan tork maksimum kini 14.7Nm.

Untuk pasaran China, Lifan KPV150 Pro 2023 ditawarkan pada harga CNY 13,680 (RM 8,777.13) untuk varian Standard, dan CNY 14,580 (RM 9,354.57) untuk varian Smart.

Sumber : pcauto.com.cn