Suzuki Gixxer SF250 2023 diperkenalkan di pasaran Jepun

Model sport bike Suzuki Gixxer SF250 2023 baru-baru ini secara rasmi diperkenalkan di pasaran domestik Jepun, sama seperti model naked Suzuki Gixxer 250 2023.

Untuk musim 2023, Suzuki Gixxer SF250 kini tampil dengan warna baharu Matte Stella Blue Metallic, manakala Matte Black Metallic merupakan warna dari musim terdahulu.

Selain daripada pengenalan warna terbaharu, jalur grafik pada model tersebut juga kini tampil lebih sporty, di samping enjinnya yang kini patuh piawaian emisi paling terkini.

Spesifikasi teknikal dan ciri-ciri pula kekal sama, termasuklah enjin 249cc (oil-cooled, 4-stroke, single-cylinder, SOHC, 4-valve) dengan padanan transmisi enam kelajuan.

Enjin yang cekap dan kini lebih mesra alam itu menawarkan kuasa maksimum 26PS @ 9,300rpm (9,000rpm bagi model 2021) dengan tork maksimum 22Nm @ 7,300rpm.

Untuk pasaran domestik Jepun, Suzuki Gixxer SF250 2023 buatan dari negara India ini ditawarkan dengan harga 514,800 Yen, bersamaan RM 17,255.19 (kadar semasa).