CFMOTO 800MT Explore Edition 2023 di pasaran Australia

Model terbaharu CFMOTO 800MT Explore Edition 2023 baru-baru ini secara rasmi tiba di pasaran Australia, dalam dua pilihan warna menarik Starry White dan Gem Black.

Berbanding tiga varian yang lain iaitu 800MT Sport, 800MT Touring dan 800MT Touring Limited Edition, varian Explore Edition ini tampil dengan beberapa naik taraf terkini.

Antaranya melalui pengenalan sistem Traction Control yang lebih canggih dan teknologi Behind Radar System (BRS), paparan Multi-Media Interface (MMI) bersaiz 8 inci, enam pilihan Ride Modes, switchable ABS depan dan belakang, dan tayar Michelin baharu.

800MT Explore Edition merupakan model pertama CFMOTO yang dilengkapi teknologi radar di bahagian belakangnya iaitu Behind Radar System (BRS), bersama-sama Blind Spot Detection (BSD), Lane Change Assist (LCA), dan Rear Collision Warning (RCW).

CFMOTO 800MT Explore Edition seterusnya dilengkapi enjin 799cc (liquid-cooled, fuel-injected, DOHC, four-stroke parallel twin) dengan padanan transmisi enam kelajuan.

Melengkapkannya ialah PASC slipper clutch dan bi-directional quickshifter, dan enjin itu menawarkan kuasa maksimum 91hp @ 9,250rpm dengan tork 75Nm @ 8,000rpm.

Sistem suspensi terdiri daripada fork depan USD 43mm KYB dan suspensi monoshock KYB di bahagian belakang, kedua-duanya mempunyai ciri boleh laras sepenuhnya.

Sistem brek cakera pula datangnya daripada jenama J.Juan, lengkap dengan teknologi BOSCH 9.1 MP Cornering ABS yang mendapat input daripada unit 6D sensor (IMU).

Beralih ke paparan Multi-Media Interface (MMI) bersaiz 8 inci, ianya menyokong sistem Apple CarPlay dan Android Auto, sambungan Bluetooth, kawalan suara, sistem navigasi dan juga sokongan interaksi multimedia melalui paparan skrin sesentuh terbaharunya.

CFMOTO 800MT Explore Edition 2023 mempunyai berat 231 kg. Di pasaran Australia, harga jualannya ditawarkan sebanyak $16,490.00, bersamaan nilai RM 48,480.86.