Pada tarikh 17hb. Mac 2023 baru-baru ini, Kawasaki secara rasminya memperkenalkan model cruiser terbaharu iaitu Kawasaki Eliminator 400 2023 untuk pasaran Jepun.
Model tersebut tampil dalam dua varian Standard dan SE. Untuk varian Standard, ianya tersedia dalam dua pilihan warna, dan hanya satu pilihan warna untuk varian SE.
Varian SE seterusnya dilengkapi cowl lampu depan, penutup fork depan, port pengecas USB Type-C, pelana dua tona warna, dan kamera depan belakang yang serasi GPS.
Spesifikasi lain untuk kedua-dua varian adalah sama. Antaranya enjin bersesaran 398cc yang dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch.
Enjin dua silinder itu menawarkan kuasa maksimum 48PS @ 10,000rpm dan tork 37Nm @ 8,000rpm. Untuk perjalanan lebih jauh, tangki bahan apinya berkapasiti 12 liter.
Kawasaki Eliminator 400 2023 ini seterusnya dilengkapi fork depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar, dan sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS.
Tayar depan dan belakangnya berukuran 130/70-18 dan 150/80-16 masing-masing, dan tinggi tempat duduk berada pada paras 735 mm. Beratnya 176 kg (178 kg untuk SE).
Ciri-ciri menarik lainnya termasuklah sistem lampu LED, paparan instrumen digital LCD dengan pelbagai informasi berguna, dan juga sistem sambungan ke telefon pintar.
Untuk pasaran Jepun, Kawasaki Eliminator 400 2023 dijual dengan harga 759,000 Yen (RM 25,704.41) untuk varian Standard, dan 858,000 Yen (RM 29,057.16) untuk SE.