Husqvarna Norden 901 Expedition 2023 dilancarkan di Eropah

Pada awal bulan Mac 2023 baru-baru ini, model kembara terbaharu Husqvarna Norden 901 Expedition 2023 dengan rasminya telah dilancarkan untuk pasaran Eropah.

Berbanding model standard Husqvarna Norden 901 yang sebelum ini turut dilancarkan di pasaran Malaysia, versi Expedition kini tampil dengan beberapa naik taraf terkini.

Melalui naik taraf tersebut, Husqvarna Norden 901 Expedition menawarkan tunggangan jarak jauh yang lebih selesa, jentera yang lebih tahan lasak dan juga lebih selamat.

Antara naik taraf yang diterima ialah kelengkapan suspensi premium WP XPLOR yang boleh dilaraskan sepenuhnya, pemanas cengkaman dan tempat duduk boleh laras, dan skrin penghadang angin touring serba baharu yang boleh mengurangkan keletihan.

Sebagai sebuah jentera adventure sebenar, Norden 901 Expedition telah siap dipasang dengan ‘Side Bag Set’ yang menawarkan kapasiti ruang barangan seluas 36 liter.

Melengkapkan lagi spesifikasi menarik model tersebut termasuklah tongkat tengah dan pelindung enjin baharu, dan juga ‘Connectivity Unit’ yang boleh dihubungkan ke telefon pintar untuk muat turun peta, sistem navigasi, panggilan telefon dan informasi trafik.

Pemilihan muzik dan kelantangan suara juga boleh dikawal dengan lebih selamat ketika menunggang, dengan menggunakan butang yang dipasangkan pada bar hendal.

Husqvarna Norden 901 Expedition 2023 dilengkapi enjin bersesaran 889cc dua silinder, dengan kuasa maksimum 105hp @ 8,000rpm dan tork puncak 100Nm @ 6,500rpm.

Bagi membezakannya dengan model standard, ianya didatangkan dengan skim warna yang lebih menyerlah, untuk menandakan keupayaannya di jalanan on dan off-road.