BMW R nineT 100 Years 2023 kini di Malaysia, terhad 10 unit

Pada awal bulan Mac 2023 baru-baru ini, BMW Motorrad secara rasminya melancarkan model terbaharu BMW R nineT 100 Years 2023, khusus untuk pasaran Malaysia.

Untuk pasaran global, model tersebut dikeluarkan dalam edisi terhad 1,923 unit sahaja bagi memperingati ulang tahun ke-100 sejarah pengeluaran model pertamanya.

Untuk pasaran Malaysia, bagaimanapun hanya 10 unit sahaja yang ditawarkan sebagai model eksklusif, dengan harga sebanyak RM 129,500.00, tidak termasuk insuran.

Pilihan warna tunggal yang ditawarkan untuk model itu merupakan gabungan di antara warna hitam dan krom yang eksklusif, menjadikannya sebuah model ikon sebenar.

BMW R nineT 100 Years 2023 dilengkapi enjin Boxer bersesaran 1,170cc (air/oil-cooled two-cylinder) yang menghasilkan 109hp @ 7,250rpm dan tork 116Nm @ 6,000rpm.

Sistem transmisinya ialah enam kelajuan dengan menggunakan aci pemacu, manakala kelajuan maksimum model seberat 221 kg itu dikatakan melebihi angka 200 km/j.