Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) pada kelmarin dengan rasminya telah melancarkan model skuter Yamaha NMAX 2023, yang kini tampil dengan dua pilihan warna baharu.
Dua pilihan warna baharu itu ialah Merah dan Biru, manakala harga jualannya kini telah meningkat sebanyak RM 300.00, kepada harga jualan asas baharu iaitu RM 9,798.00.
Pada tahun lepas, Yamaha NMAX 2022 telah dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan Julai 2022, dan ketika itu harga jualan asasnya ialah sebanyak RM 9,498.00.
Selain daripada perubahan warna baharu dan harga yang kini telah meningkat, Yamaha NMAX 2023 masih mengekalkan spesifikasi teknikal dan ciri-ciri seperti sebelumnya.
Antaranya ialah enjin bersesaran 155cc dengan teknologi VVA yang dipadankan sistem transmisi automatik, dengan kuasa 15.4PS @ 8,000rpm dan tork 13.9Nm @ 6,000rpm.
Ciri-ciri menarik lain pada model tersebut termasuklah lampu depan dan belakang LED, meter digital, sistem Stop & Start, soket pengecas 12V, serta ruang storan 23.3 liter.
Menurut HLYM bagi setiap pembelian Yamaha NMAX 2023 ini, pembeli akan menerima satu kunci cakera Yamaha secara percuma, untuk tahap keselamatan yang lebih baik.