Naik taraf Yamaha MT-15 V2 Deluxe 2023 di pasaran India

Model naked Yamaha MT-15 V2 Deluxe 2023 baru-baru ini secara rasmi diperkenalkan di pasaran India, dengan beberapa naik taraf terbaharu yang lebih menarik.

Naik taraf terbaharu yang diterima itu ialah lampu signal depan dan belakang kini telah LED, sistem brek ABS Dual Channel, dan juga dilengkapi Traction Control System.

Pilihan warna terbaharu yang diterima pula ialah Metallic Black, di samping tiga pilihan warna dari musim 2022 iaitu Ice Fluo-Vermillion, Racing Blue dan Cyan Storm.

Di bahagian enjin, Yamaha MT-15 V2 Deluxe 2023 ini kekal dilengkapi enjin 155cc VVA dengan padanan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch (ASC).

Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 18.4PS @ 10,000rpm dengan tork 14.1Nm @ 7,500rpm. Model seberat 141 kg itu kemudiannya dilengkapi tangki petrol 10 liter.

Untuk pasaran India, harga jualan yang ditetapkan untuk model tersebut ialah sebanyak Rs. 1,68,400, bersamaan nilai RM 9,018.43 mengikut kadar mata wang semasa.