Kawasaki Ninja 250 2023 dilancarkan di pasaran Indonesia

Model sport bike Kawasaki Ninja 250 2023 kini rasmi dilancarkan di pasaran Indonesia, dalam dua pilihan varian iaitu varian standard (Non-ABS) dan varian SE (ABS).

Bagi varian standard, Kawasaki Ninja 250 2023 didatangkan dengan dua pilihan warna menarik iaitu Metallic Carbon Gray / Metallic Matte Carbon Gray dan Passion Red.

Bagi varian SE pula, hanya satu pilihan warna yang ditawarkan iaitu Lime Green (KRT Edition). Selain itu, ianya turut dilengkapi skrin penghadang angin yang lebih tinggi.

Kawasaki Ninja 250 bagi kedua-dua varian tersebut dikuasakan enjin yang sama 249cc, dengan gandingan transmisi enam kelajuan dan juga sistem Assist & Slipper Clutch.

Enjin dua silinder DOHC dengan 8 injap itu menghasilkan prestasi maksimum 36PS @ 12,500rpm dengan tork 22Nm @ 10,500rpm. Kapasiti tangki bahan api ialah 14 liter.

Bagi varian SE, kelebihan lainnya berbanding varian standard ialah kelengkapan sistem kunci keyless iaitu KIPASS (Kawasaki’s Intelligent Proximity Activation Start System).

Untuk pasaran Indonesia, Kawasaki Ninja 250 2023 (Non-ABS) dijual dengan harga Rp. 66,900,000 (RM 19,537.09), dan Rp. 79,300,000 (RM 23,158.32) untuk varian SE.