Pasaran Malaysia boleh dikatakan antara pasaran terbesar dunia untuk motosikal jenis moped, mengalahkan pasaran negara-negara lain di rantau ASEAN. Ketika ini terdapat pelbagai jenis model-model motosikal moped di pasaran Malaysia, namun model yang manakah paling popular dan menjadi pilihan lebih ramai pembeli?
Berikut ialah senarai 10 model moped paling popular di pasaran Malaysia, bermula dari kedudukan yang ke-10.
No. 10 – WMoto F15
WMoto F15 dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan Disember 2021, dengan harga jualan asas sebanyak RM 5,999.00 sahaja. Model tersebut dilengkapi enjin bersesaran 149.2cc, dengan kuasa maksimum 10.5hp dan tork 11Nm. Dengan harga mampu milik, WMoto F15 yang tampil sporty ini pastinya sesuai untuk penunggang motosikal baharu.
No. 9 – Aveta SVR180
Sebuah lagi model moped keluaran Aveta ialah SVR180, yang dilancarkan dalam bulan Julai 2022 yang lepas. Harga asasnya ialah sebanyak RM 9,988.00. Antara kelebihan model tersebut ialah ianya dilengkapi enjin bersesaran 175cc yang berkuasa, dan ianya dikatakan mempunyai ‘top speed’ yang cukup memuaskan sehingga angka 160 km/j.
No. 8 – Benelli R18i
Benelli R18i dilancarkan bagi menggantikan model terdahulu Benelli RFS150i, dan kini ianya memiliki enjin yang lebih besar bersesaran 174cc. Namun sayang sekali populariti model sporty ini dilihat tidak berpadanan dengan prestasi yang ditawarkan. Tidak pasti kenapa peminat motosikal tempatan kurang memilihnya berbanding model yang lain.
No. 7 – SYM VF3i 185 (varian standard)
Di pasaran Malaysia, SYM VF3i 185 telah memegang rekod sebagai motosikal moped dengan enjin terbesar iaitu bersesaran 183cc. Enjin itu menawarkan prestasi maksimum 17.7hp dengan tork 15.3Nm. Selain itu ianya juga dilengkapi tangki petrol seluas 7 liter untuk jarak perjalanan yang lebih jauh. Reka bentuknya sehingga kini kekal menarik.
No. 6 – Suzuki Raider R150 Fi
Suzuki Raider R150 Fi dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan Mac 2022 yang lalu, dengan harga asas berpatutan RM 8,173.00. Model ini dikatakan mempunyai kelajuan yang cukup tinggi berbanding model-model lain, sehinggakan ianya menarik perhatian pihak berkuasa. Untuk pencinta kelajuan, model ini pastinya menjadi pilihan pertama.
No. 5 – SYM VF3i 185 (varian PRO dan LE)
SYM VF3i 185 bagi varian PRO dan LE dikuasakan enjin sama seperti varian standard, namun enjin tersebut telah ditala semula untuk prestasi maksimum 19.7hp dengan tork 17.4Nm. Di samping itu, kedua-dua varian PRO dan LE dilengkapi dengan sistem brek ABS, dan telah memperolehi penarafan keselamatan lima bintang daripada MyMAP.
No. 4 – Honda RS150R
Pada bulan Mac 2022, Boon Siew Honda telah melancarkan Honda RS150R generasi terbaharu, yang kini dilengkapi enjin bertaraf Euro 4. Harga jualan asasnya berpatutan iaitu sebanyak RM 8,299.00. Model ini seringkali menjadi pilihan kerana ianya memiliki enjin 150cc DOHC yang berkuasa, di samping rekaannya yang sporty dan evergreen.
No. 3 – Yamaha Y16ZR
Antara model moped yang sangat dinanti-nantikan sebelum ini, namun harga asas yang agak tinggi menjadikan jualannya tidak semeriah model Yamaha Y15ZR. Pada Oktober 2022 yang lepas, Yamaha Y16ZR 2023 telah diperkenalkan dengan skim warna baharu, dan ianya telah menyebabkan harga jualan asasnya meningkat kepada RM 11,118.00.
No. 2 – Yamaha Y15ZR
Yamaha Y15ZR merupakan sebuah model moped paling popular di pasaran tempatan, sejak ianya dilancarkan pada tahun 2015. Oleh kerana ianya sangat popular, harganya seringkali dimanipulasi dan menjadi lebih mahal daripada yang ditetapkan oleh HLYM. Namun jualan model itu sehingga kini tetap stabil dan masih menjadi pilihan ramai.
No. 1 – Honda RS-X
Inilah model moped paling popular di pasaran Malaysia pada ketika ini, dan kelibatnya boleh dilihat di mana-mana sahaja. Mungkin kerana reka bentuknya yang sporty, enjin berkuasa DOHC dan dilengkapi sistem brek ABS. Setakat ini dijangkakan Honda RS-X akan kekal berada di puncak populariti, sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun lagi.
Jadi itulah senarai 10 model moped paling popular di pasaran Malaysia pada ketika ini. Senarai itu adalah berdasarkan pemerhatian dan pandangan peribadi Arena Motosikal sendiri, dan ianya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.
Artikel berkaitan :