BRABUS dan KTM sekali lagi menjalinkan kolaborasi, kali ini dengan memperkenalkan model terbaharu BRABUS 1300 R Edition 23, dalam edisi terhad sebanyak 290 unit.
BRABUS 1300 R Edition 23 merupakan kesinambungan kepada model Brabus 1300 R, yang diperkenalkan pada tahun 2022 yang lalu dalam jumlah terhad hanya 154 unit.
Dua pilihan warna ditawarkan untuk BRABUS 1300 R Edition 23, iaitu Stealth Gray dan Superblack, dan setiap satu pilihan warna menarik itu hanya tersedia 145 unit sahaja.
Menurut BRABUS, model 1300 R Edition 23 ini masih diasaskan daripada model KTM 1290 SUPER DUKE R EVO, dengan dikuasakan enjin LC8 V-Twin berprestasi tinggi.
Enjin yang bersesaran 1,301cc itu menghasilkan kuasa maksimum 180hp @ 9,500rpm dengan tork 140Nm @ 8,000rpm, dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.
BRABUS 1300 R Edition 23 hanya ditawarkan untuk beberapa pasaran terpilih, dengan harga jualannya di pasaran Eropah ialah 42,500.00 EUR, bersamaan RM 199,775.90.