Kawasaki hari ini rasmi melancarkan model sport bike terbaharu yang ditunggu-tunggu iaitu Kawasaki Ninja ZX-4RR KRT Edition 2023, di pasaran Amerika Syarikat (USA).
Tampil dalam skim warna tunggal Lime Green / Ebony (KRT Edition), harga jualan untuk model berkenaan ditetapkan sebanyak $9,699.00, bersamaan nilai RM 41,373.99.
Dari segi reka bentuknya, Kawasaki Ninja ZX-4RR KRT Edition 2023 ini boleh dikatakan sama seperti model Kawasaki Ninja ZX-25RR 2023, namun dengan enjin lebih besar.
Enjin empat silindernya bersesaran 399cc (4-stroke, In-Line Four, OHC, 16-valve, liquid-cooled) dengan padanan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch.
Enjin berprestasi tinggi itu menghamburkan kuasa maksimum 77PS, sehinggalah 80PS dengan bantuan Ram Air, berdasarkan maklumat daripada Kawasaki Motor Europe.
Untuk makluman, Kawasaki Motor Europe mengatakan terdapat tiga varian yang akan ditawarkan di pasaran Eropah, iaitu Ninja ZX-4R, Ninja ZX-4R SE dan Ninja ZX-4RR.
Untuk pasaran USA, mungkin hanya varian Ninja ZX-4RR sahaja yang ditawarkan buat masa ini, manakala varian Standard dan SE akan menyusul pada masa akan datang.
Melihat ke aspek teknikal, Kawasaki Ninja ZX-4RR KRT Edition 2023 dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik, antaranya brek cakera depan berkembar dan ABS dua hala.
Sistem suspensi berprestasi tingginya pula merupakan gabungan di antara fork depan Showa SFF-BP dan suspensi belakang monoshock Horizontal Back-link BFRC Lite.
Selain itu ialah paparan panel TFT 4.3” dengan ciri sambungan ke telefon, Riding Mode, Kawasaki TRaction Control (KTRC), Power Modes dan Kawasaki Quick Shifter (KQS).
Kawasaki Ninja ZX-4RR KRT Edition 2023 seterusnya dilengkapi tangki bahan api 15 liter, tinggi tempat duduk 800 mm, dan tayar bersaiz 120/70-ZR17 dan 160/60-ZR17.
Sistem lampu kesemuanya LED, dan beratnya mencapai 188 kg. Untuk pasaran negara kita Malaysia, setakat ini belum pasti sama ada model sporty ini akan turut dilancarkan.