Model kompak Honda Grom 2023 baru-baru ini rasmi dilancarkan di pasaran Thailand, sebagai pengganti kepada model Honda Grom 2021 yang dilancarkan sebelum ini.
Dua pilihan varian ditawarkan iaitu ABS dengan warna Grey-Black, dan varian Standard yang didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Red-Black, Blue-Black dan Black.
Bagi varian ABS, ianya dilengkapi rim roda berwarna emas, manakala varian Standard dilengkapi rim roda berwarna hitam. Fork depan untuk dua varian kini berwarna emas.
Untuk pasaran Thailand, Honda Grom 2023 ditawarkan dengan harga jualan bermula dari THB 69,900.00, bersamaan RM 9,134.63 mengikut kadar mata wang semasa.
Spesifikasi teknikalnya setakat ini tiada perubahan. Di bahagian enjin, ianya bersesaran 123.9cc (air-cooled, SOHC, 2-valve, PGM-FI) dengan padanan transmisi lima kelajuan.
Tiada maklumat mengenai jumlah kuasa dan tork, namun ianya dipercayai sama seperti model Honda MSX125 Grom 2023 di pasaran Eropah, sebanyak 9.65hp dan 10.5Nm.
Honda Grom 2023 seterusnya dilengkapi klac tangan manual, fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock, dan sepasang tayar bersaiz 120/70-12 dan 130/70-12.
Selain itu ialah sistem brek cakera, lampu depan LED, panel meter digital LCD dengan Gear Indicator dan Shift Light, tinggi tempat duduk 761 mm, dan tangki petrol 6 liter.