CFMOTO 700CL-X Heritage 2023 terima pilihan warna baharu

Di pasaran USA, antara model yang ditawarkan oleh CFMOTO ialah 700CL-X Heritage 2023, yang tampil dengan dua pilihan warna baharu Nebula Black dan Zephyr Blue.

Harga jualan yang ditetapkan ialah sebanyak $6,799.00, bersamaan nilai RM 29,137.11 mengikut kadar semasa, bersama-sama jaminan pengeluar selama tempoh 2 tahun.

CFMOTO 700CL-X Heritage 2023 dilengkapi enjin bersesaran 693cc (2-cylinder inline, liquid-cooled, DOHC), dipadankan transmisi enam kelajuan dan CF-SC slipper clutch.

Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu 74hp @ 8,500rpm, dengan tork puncak 68Nm @ 6,500rpm. Dengan berat 193 kg, ianya dilengkapi tangki bahan api 13.5 liter.

Di bahagian casis, 700CL-X Heritage dilengkapi fork depan USD 41 mm dan suspensi belakang tunggal (link-mounted), kedua-duanya daripada KYB dan boleh dilaraskan.

Brek cakera depan J-Juan 320 mm (single disc, radially mounted 4-piston caliper) telah digandingkan dengan brek cakera belakang J-Juan 260 mm (floating 2-piston caliper).

Roda depan dan belakangnya menggunakan tayar Pirelli® MT60 berukuran 110/80-R18 dan 180/55-R17, yang turut menyumbang kepada ketinggian tempat duduk 800 mm.

Ciri-ciri tambahan menarik pada CFMOTO 700CL-X Heritage 2023 merangkumi sistem pendikit elektronik, Continental ABS Dual Channel, lampu LED dan panel meter digital.

Lebih dari itu termasuklah mod tunggangan Eco dan Sport, Cruise Control dan Traction Control. Di pasaran Malaysia, CFMOTO 700CL-X Heritage 2022  telah pun ditawarkan.