Yamaha EZ115 2023 rasmi dilancarkan, harga RM 5,598.00

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) pada kelmarin dengan rasminya telah melancarkan sebuah model kapcai terbaharu iaitu Yamaha EZ115 2023, untuk pasaran Malaysia.

Model berkenaan didatangkan dengan tiga pilihan warna Cyan, Biru dan Merah, dengan harga jualan asas RM 5,598.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Tempoh jaminannya ditawarkan selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan. Untuk setiap pembelian, pembeli akan turut menerima kunci cakera Yamaha secara percuma.

Yamaha EZ115 dikuasakan enjin empat lejang 114cc (sejukan udara, SOHC, dua injap) dengan transmisi empat kelajuan, serta sistem penghidup jenis tendang dan elektrik.

Enjin yang kini bertaraf Euro 4 itu menawarkan prestasi maksimum 8.7PS @ 7,000rpm dengan tork setinggi 9.5Nm @ 5,500rpm. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 3.9 liter.

Yamaha EZ115 seterusnya dilengkapi fork depan teleskopik, penyerap hentak belakang jenis berkembar, tinggi tempat duduk 775 mm, dan saiz tayar 70/90-17 dan 80/90-17.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapinya termasuklah lampu hadapan yang terang, panel meter dengan paparan lampu indikator Eco dan bateri, dan kunci akses mudah.

Selain itu tempat duduknya tampil selesa dan ergonomik untuk tunggangan harian yang tidak memenatkan, manakala di bawahnya ialah kemudahan ruang storan yang luas.

Untuk pasaran Malaysia ketika ini, Yamaha EZ155 2023 ini pastinya akan memberikan saingan kepada model Honda Wave Alpha 2023, yang dijual pada harga RM 5,179.00.

Sumber gambar : paultan.org