Honda CBR250RR 2023 tampil sporty untuk pasaran Jepun

Honda memperkenalkan model sport bike Honda CBR250RR 2023, dengan tiga pilihan warna menarik Pearl Glare White, Matte Ballistic Black Metallic dan Grand Prix Red.

Untuk pasaran domestik Jepun, harga yang ditawarkan ialah sebanyak ¥ 869,000 (RM 29,187.03), dan ¥ 907,500 (RM 30,480.13) untuk model berwarna Grand Prix Red.

Model tersebut kini menerima perubahan facelift terbaharu, sama seperti model Honda CBR250RR 2023 yang diperkenalkan di pasaran Indonesia pada September 2022.

Naik taraf spesifikasi menarik yang diterima adalah seperti fork depan SFF-BP daripada Showa, dan juga sistem HSTC, lampu kecemasan dan Emergency Stop Signal (ESS).

Honda CBR250RR 2023 juga kini dilengkapi enjin yang mematuhi piawaian emisi terkini yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di Jepun, bersamaan dengan piawaian Euro 5.

Enjin 249cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, in-line 2-cylinder) itu menghasilkan kuasa maksimum 42PS @ 13,500rpm, dengan tork maksimum 25Nm @ 10,750rpm.

Spesifikasi standard lain pada model tersebut termasuklah sistem lampu LED, paparan panel meter digital, Assist & Slipper Clutch, Throttle-By-Wire dan tiga mod tunggangan.

Untuk pasaran Jepun, Quick Shifter merupakan pilihan dan tidak ditawarkan sebagai ciri standard. Turut melengkapi ialah sistem ABS Dual Channel dan tangki petrol 14 liter.

Honda CBR250RR 2023 berdiri di atas tayar depan berukuran 110/70R17 dan belakang 140/70R17. Tinggi tempat duduk mencapai 790 mm, manakala beratnya ialah 168 kg.

Di pasaran Malaysia, Honda CBR250RR 2022 ditawarkan pada harga asas sebanyak RM 25,999.00, dalam dua pilihan warna Tricolour dan Mat Gunpowder Black Metallic.