Untuk pasaran domestik Jepun, model skuter maxi terbaharu Honda Forza 250 2023 kini rasmi dilancarkan, dengan harga jualan sebanyak Yen 691,900.00 (RM 23,002.45).
Honda Forza 250 untuk musim 2023 merupakan model versi facelift terbaharu, seperti mana model Honda Forza 125 2023 dan Honda Forza 350 2023 di pasaran Eropah.
Berbanding generasi sebelumnya, Honda Forza 250 kini tampil lebih sporty dan elegan, dengan dua pilihan warna Pearl Smoky Gray dan Matte Gunpowder Black Metallic.
Ianya dilengkapi enjin eSP+ bersesaran 249cc (liquid-cooled, 4-stroke, 4-valve, single cylinder), yang kemudiannya digandingkan dengan sistem transmisi automatik CVT.
Enjin yang patuh piawaian emisi paling terkini itu menghasilkan kuasa maksimum 23PS @ 7,750rpm, dengan tork 24Nm @ 6,250rpm. Kapasiti tangki bahan apinya 11.7 liter.
Honda Forza 250 mempunyai ciri-ciri sama seperti Forza 125 dan Forza 350, antaranya termasuklah sistem lampu LED dengan sistem lampu ESS (Emergency Stop Signal).
Selain itu ianya turut dilengkapi panel instrumen digital LCD terbaharu yang sofistikated, sistem Honda Smart Key, port pengecas USB Type-C, dan ruang storan seluas 48 liter.
Untuk ciri keselamatan yang lebih baik, Honda Forza 250 dilengkapi sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, bersama-sama Honda Selectable Torque Control (HSTC).
Bagaimanapun Honda Forza 250 2023 ini tidak dilengkapi teknologi Honda Smartphone Voice Control (HSVC), yang ketika ini kekal eksklusif untuk Honda Forza 350 2023.
Spesifikasi standard lain pada model tersebut ialah tayar bersaiz 120/70-15 (depan) dan 140/70-14 (belakang), tinggi tempat duduk 780 mm, dan berat 186 kg (kerb weight).
Untuk pasaran Malaysia, Honda Forza 250 2023 generasi terbaharu ini dijangka bakal dilancarkan oleh Boon Siew Honda tidak lama lagi. Jadi sama-sama kita nantikannya.