Salah sebuah model motosikal yang dinanti-nantikan ketibaannya di pasaran Malaysia ialah Modenas Ninja ZX-25R, edaran oleh EMOS (Edaran Modenas Sdn. Bhd.).
Setakat ini berdasarkan maklumat yang diperolehi, model sport bike dengan enjin 250cc empat silinder itu dikatakan bakal dilancarkan pada pertengahan tahun 2023 ini.
Malah model itu sebelum ini telah pun rasmi dipamerkan di Malaysia, di acara MotoGP Malaysia 2022 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada Oktober 2022.
Bagaimanapun model yang dipamerkan itu ialah Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 versi di pasaran Thailand, dengan kuasa maksimum 46PS dan tork maksimum 22Nm.
Sementara itu di pasaran Indonesia, turut ditawarkan ialah versi yang lebih berprestasi dengan spesifikasi premium, dikenali dengan nama Kawasaki Ninja ZX-25RR 2023.
Namun oleh kerana harganya yang lebih tinggi, versi RR itu mungkin tidak akan masuk ke pasaran Malaysia, sebaliknya hanya versi R sahaja yang akan ditawarkan nanti.
Sebagai makluman bersama, harga Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 di pasaran Thailand ialah sebanyak THB 299,000, bersamaan RM 38,724.65 mengikut kadar semasa.
Untuk pasaran Malaysia, Modenas Ninja ZX-25R 2023 merupakan model pemasangan tempatan atau CKD, jadi harganya nanti mungkin antara RM 30k sehingga RM 35k.
Harga tersebut jika benar boleh dikatakan sudah berpatutan, memandangkan Modenas Ninja ZX-25R 2023 ini tampil dengan reka bentuk sporty dan spesifikasinya yang tinggi.
Jadi untuk anda yang berhasrat memiliki model sport bike 250cc empat silinder dengan bunyi ekzos yang cukup merdu ini, masih ada masa untuk membuat tabungan khas.