Benarkah kelajuan maksimum Suzuki Raider R150 mencecah 181 km/j?

Suzuki Raider R150 merupakan salah sebuah model super moped yang ditawarkan di pasaran Malaysia pada ketika ini.

Harga jualan asasnya boleh dikatakan berpatutan iaitu sebanyak RM 8,173.00 sahaja.

Walaupun hanya dilengkapi enjin 147.3cc (satu silinder, sejukan cecair, DOHC, 4-injap) dengan kuasa 18.2hp, kelajuan maksimum atau ‘top speed’ yang dicatatkan oleh model tersebut adalah sangat mengujakan.

Terkini berdasarkan paparan sebuah video, Suzuki Raider R150 didapati telah berjaya memecut laju di atas lebuh raya, dengan kelajuan maksimum 181 km/j.

Namun benarkah kelajuan maksimum yang diperolehi itu benar-benar tepat seperti mana kelajuan maksimum yang dicatatkan oleh sistem GPS?

Menurut beberapa sumber yang boleh dipercayai, paparan kelajuan pada panel meter digital Suzuki Raider R150 sebenarnya kurang tepat.

Ini kerana ralat di antara paparan di panel meter tersebut dan paparan sebenar melalui sistem GPS dikatakan mencapai sekitar 30 km/j.

Jika kenyataan itu benar, bermakna kelajuan maksimum sebenar Suzuki Raider R150 di dalam video tersebut adalah sekitar 150 km/j atau 155 km/j sahaja.

Walau bagaimanapun, kelajuan maksimum 155 km/j itu sebenarnya sudah cukup tinggi, dan mungkin melebihi kelajuan maksimum beberapa buah model moped lain.